KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mengumumkan persaraan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Henry Tan Poh Hock berkuat kuasa 31 Januari, 2023.

Beliau akan digantikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro dan Ketua Pegawai Eksekutif Televisyen Berbayar, Euan Daryl Smith.

Smith menyertai Astro pada 2020 selepas menyandang beberapa jawatan kanan di syarikat penyiaran Sky United Kingdom dan Jerman, serta Fox Amerika Syarikat.

Pengerusi Kumpulan Astro, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz berkata, Henry akan sentiasa diingati sebagai individu yang berjaya mentransformasi filem-filem tempatan menjadi kejayaan di pawagam, serta membina siri kandungan yang kini menjadi asas kepada identiti Astro.

“Henry telah menjadi pemimpin yang memberi inspirasi kepada seluruh warga Astro, beliau mengemudi syarikat melalui beberapa fasa perniagaan berbeza dan berjaya mencatat banyak pencapaian penting dalam industri media dan hiburan secara kseluruhannya,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Astro berkata, Tan akan terus berkhidmat selaku Penasihat Kumpulan untuk terus membantu memperkasakan penyaluran kandungan.

Sementara itu, Tan menzahirkan ucapan terima kasih kerana diberikan peluang untuk berkhidmat kepada industri penyiaran negara selama hampir 15 tahun.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dedikasi pasukan Astro yang menjadi asas kepada kejayaan kita mencapai banyak perkara – pengenalan siaran definisi tinggi (HD), freemium pelbagai saluran NJOI TV, serta meningkatkan kedudukan kandungan Astro – Signatures dan Originals, melancar dan mengembangkan jenama pendidikan Astro Tutor TV kepada 5 juta capaian, juga Astro First, saluran ‘pawagam di rumah’ terbesar di Malaysia.

“Semua ini memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan Astro sebagai destinasi hiburan rakyat Malaysia,” kata Tan.

Sementara itu, Smith berkata pengumuman terbaharu ini selaras dengan prinsip Astro untuk terus anjal dalam berkembang mengikut peredaran masa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah atas peluang untuk memimpin Astro ke peringkat seterusnya, dan kepada Henry atas segala sokongan yang dia berikan kepada saya sebagai rakan sekerja dan rakan yang dihargai.

“Saya tidak sabar untuk bekerja bersamanya dalam peranan barunya,” tambah Tan.